Kuala Lumpur Post

Social

Penganggur didakwa bunuh isteri

BATU GAJAH — Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh isterinya di sebuah hotel dua minggu lepas.

Hairil Anaas Abdullah, 37, mengangguk faham selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa menyebabkan kematian Nisya Syahkila Shaharun, 32, di bilik sebuah hotel di Pekan Batu Gajah antara 7.30 pagi hingga 2 petang, 20 Jun lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 sehingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos depan bagi sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, bedah siasat dan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 20 Jun lepas, Hairil Anaas ditahan di Balai Polis Batu Gajah kira-kira pukul 2 petang selepas menyerah diri, mengaku membunuh isterinya di sebuah bilik hotel.

Sementara itu ibu kepada Nisya Syahkila, Rozita Radzuan, 56, yang berada di pekarangan mahkamah kelihatan tidak dapat menahan kesedihan sehingga mengalirkan air mata.

“Anaas, sampai hati sanggup kamu bunuh anak ibu, Nisya itu baik, 32 tahun ibu jaga anak ibu,” katanya, menahan sebak sambil cuba ditenangkan ahli keluarga.