Social
205

Penganggur didenda RM10,000 hina Nabi dan agama Islam

Kuala Lumpur – Akibat memuat naik hantaran bersifat jelik menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, seorang penganggur didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan tersebut.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu. OKS membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Zahrein didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Semar Tilem”.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di UTC Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat di sini, pada 11 pagi, 8 Mei 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, peguam L.A. Gomes yang mewakili OKS memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam.

“Mohon mahkamah mengambil kira tindakan OKS itu telah membuatkan kucar-kacir dalam kalangan umat Islam,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu