Social
135

Penganggur dipenjara 8 tahun dera kanak-kanak sehingga mati

Putrajaya – Seorang penganggur hari ini dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini atas perbuatan kejamnya yang menganiayai seorang kanak-kanak dua tahun dengan menumbuk, memijak badan dan kepala, serta memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa yang sudah tidak bernyawa dan menyorokkan mayatnya dalam sebuah tong ikan dipenuhi ais.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Affandi Fauzi Ramlee, 39, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Sebelum ini lelaki itu didakwa atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagaimanapun Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu.

Hari ini pendakwaan yang merayu terhadap keputusan itu, bagaimanapun mengemukakan pertuduhan pilihan iaitu menganiayai kanak-kanak berkenaan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31 (5) (b) akta sama, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun.

Hakim Kamaludin berkata walaupun tertuduh telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu, tetapi mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.

“Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh ke atas mangsa adalah terlalu kejam. Kita tidak dapat membayangkan seksa dan penderitaan yang dialami kanak-kanak itu,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah.

Terdahulu peguam Kee Wei Lon yang mewakili tertuduh berkata walaupun anak guamnya telah dilepas dan dibebaskan tetapi dia tetap hadir hari ini ke mahkamah, dan telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan ini menunjukkan tertuduh benar-benar insaf dan mengambil tanggungjawab atas perbuatannya.

Beliau berkata anak guamnya telah menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mencederakan kakak mangsa yang berusia empat tahun, dan telah keluar dari penjara pada 15 April 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali memohon hukuman penjara maksimum 10 tahun atas alasan ia kesalahan serius kerana perbuatan tertuduh terhadap kanak-kanak itu adalah sangat kejam.

“Yang Arif, tertuduh, pernah menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kes lain, iaitu kes mencederakan kakak mangsa. Ia tiada sebarang kaitan dengan kes kanak-kanak ini. Saya memohon, jika hukuman penjara dikenakan, maka ia perlu bermula hari ini,” katanya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah pada 2 pagi antara 24 Okt 2016 dan 24 Nov tahun sama.

Berdasarkan fakta kes, kanak-kanak itu bersama ibu dan kakaknya menumpang di rumah tertuduh sebelum lelaki itu mula mendera mangsa dengan menumbuk, mencubit, menjentik dan memijak badan dan kepala mangsa beberapa kali, sehingga tulang rusuknya patah.

Pada 27 Okt 2016, lelaki itu menolak mangsa sehingga jatuh terduduk dan tersembam. Mangsa kemudian bangun dan berjalan dua tiga langkah dan terus tersembam atas lantai dan tidak bangun.

Tertuduh menarik mangsa dan memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa untuk menghalang mulut tertutup, bagaimanapun mangsa tidak bergerak selepas itu dan ibunya mendapati anaknya sudah keras, sejuk dan tidak lagi bernyawa.

Menurut ibu mangsa, lelaki berkenaan melarangnya membawa anaknya ke hospital kerana mahu mengelak daripada siasatan polis dan tertuduh juga mengetuk kepala wanita berkenaan dengan parang, bagi mengelakkan dia berbincang mengenai hal berkenaan.

Keesokannya, wanita berkenaan memberitahu tertuduh bahawa ada lendir keluar daripada hidung mangsa dan berbau, lalu tertuduh menutup mayat dengan menggunakan toto dan menyorok mayat itu di dalam sebuah tong ikan yang dipenuhi ais.

Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar selepas ibu mangsa meminta pertolongan jiran sebelum memaklumkan kepada polis, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu