Social
108

Penganggur mengaku bersalah rogol remaja bawah umur

Kota Bharu – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol remaja bawah umur di Kampung Pasir Tumboh, minggu lalu.

Tertuduh, Nor Ikmal Arif Mohd Kassim, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 4 Julai depan untuk tarikh hukuman bagi kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun lapan bulan.

Kesalahan itu dilakukan di bilik di Kampung Pasir Tumboh di sini jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Faizuan memohon agar mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap pertuduhan yang dihadapi lelaki itu.

Tertuduh pula memohon agar jaminan rendah diberikan kepadanya kerana sudah membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan, selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. – BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu