Social
286

Penganggur mengaku tak bersalah terima deposit pelaburan RM125,000

Melaka – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima deposit wang pelaburan tanpa lesen berjumlah RM125,000, lima tahun lepas.

Iskandar Isahak, 51, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang didakwa dilakukan di Jalan Hang Tuah, Melaka Tengah antara 10 Mei 2016 hingga 27 Jun 2016.

Dia dituduh menerima deposit wang pelaburan itu daripada tiga individu, masing-masing berjumlah RM40,000, RM45,000 dan RM40,000, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun syarikat I Usahawan Global (IUGB) Berhad miliknya.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad menawarkan jaminan RM70,000 bagi setiap pertuduhan kerana mengambil kira faktor kerugian yang ditanggung mangsa, namun peguam Zulhelmi Wagiman memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya tidak bekerja.

Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap 1 hari bulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Hakim menetapkan 16 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Iskandar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 46 tahun dengan menawarkan program pembelian motosikal berkuasa tinggi sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan cek bernilai RM32,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai di Jalan Durian Daun, Melaka Tengah pada 25 Okt 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Lee Kim Keat membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 14 Sept depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu