Social
948

Penganggur pukul penghantar makanan ditahan

George Town – Penganggur berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki memukul penghantar makanan dalam kejadian di pekarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini, semalam.

Kejadian itu menyebabkan mangsa menerima sembilan jahitan di kepala akibat dipukul dengan penukul besi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu ketika kejadian, mangsa yang juga lelaki berusia 40 tahun menghantar makanan yang ditempah seorang wanita pada jam 4.10 petang.

Sebaik tiba, penghantar makanan terbabit menunggu lama pelanggannya itu di lokasi bagi menyerahkan makanan.

“Penghantar makanan itu menghubungi wanita berkenaan berkali-kali bagi memaklumkan bahawa dia sudah tiba di lokasi namun panggilan tidak dijawab.

“Wanita terbabit datang mengambil makanan 10 minit kemudian sebelum penghantar makanan berkenaan beredar pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, kira-kira 20 minit kemudian mangsa dihubungi suspek yang juga suami wanita itu, kononnya mahu memulangkan semula makanan.

Ketika tiba di pekarangan rumah suspek, berlaku pertengkaran mulut antara penganggur itu dengan mangsa.

“Suspek menuduh mangsa memarahi isterinya berkaitan penghantaran makanan dan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

“Suspek kemudian memukul kepala mangsa dengan menggunakan penukul besi,” katanya lagi.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, Soffian berkata, suspek ditahan di rumahnya pada jam 11.15 malam tadi.

“Turut dirampas ialah penukul besi yang digunakan sebagai senjata bagi memukul mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu