KUALA TERENGGANU — Seorang pengarah syarikat pengiklanan didakwa bergelar ‘Datuk’ antara dua suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan kes rasuah membabitkan nilai RM92,500.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi di kediamannya di Batu Caves, Selangor, manakala suspek kedua dipercayai berperanan sebagai ‘orang tengah’ dalam urusan rasuah itu ditahan di Kuantan, Pahang.
Berdasarkan sumber, wang rasuah itu dikatakan diminta lelaki berusia lingkungan 60-an itu sebagai balasan kerana melantik sebuah syarikat untuk kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan berjumlah RM2.5 juta di salah sebuah daerah di negeri ini pada 2020.
“Suspek ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank.
“Syarikat suspek juga dikatakan ditawarkan kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan di seluruh negara melalui sebuah kementerian,” katanya.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek itu dengan dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman esok bagi mendapatkan permohonan reman.