Social
179

Pengarah syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu PSU

Seremban – Seorang pengarah syarikat yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Subsidi Upah (PSU) membabitkan RM6,000 pada tahun lalu.

Tertuduh, Wong Siow Yen, 39, yang juga Pengarah YTG Logistic and Trading Sdn Bhd membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Beliau didakwa memberikan borang PSU kepada Ketua Bahagian Insurans Pekerjaan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Putrajaya bagi tujuan membuat tuntutan lima pekerjanya, yang sebenarnya tidak layak menuntut subsidi PSU.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di YTG Logistic and Trading Sdn Bhd, Lot 869 Batu 1 3/4, Jalan Tampin, Gemas pada 9 April 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam tertuduh, Chuah Shyue Chien memohon mahkamah mengenakan jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak berumur lapan bulan hingga 11 tahun, selain memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan oleh SPRM.

Madihah kemudian membenarkan Siow Yen diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Syarina Raizan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu