Social
107

Pengarah syarikat didakwa pecah amanah wang RM80,000

Kuala Lumpur – Seorang pengarah syarikat yang mengusahakan sebuah restoran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah RM80,000 untuk kegunaannya sendiri, tahun lepas.

Fong Kin Yew, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Lelaki itu didakwa sebagai pengarah syarikat Soi 55 Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah terhadap wang RM80,000 bagi kegunaan sendiri di sebuah restoran di Jalan Solaris 5, Solaris Mont Kiara di sini antara 8 pagi hingga 5 petang, 16 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan penjara maksimum 20 tahun, dengan sebat dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Fong diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zahari manakala tertuduh diwakili peguam Wong Joon Wye. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu