Social
485

Pengarah syarikat rugi lebih RM400,000 ditipu

Kuala Lumpur – Seorang pengarah syarikat kerugian RM406,400 selepas ditipu dalam urusan mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri Utama’ dan sebidang tanah kurnia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa yang merupakan lelaki berusia 33 tahun mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu pada 28 Mac lepas dengan dimaklumkan Istana Negara akan mengurniakan darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah kurnia berkeluasan dua hektar kepadanya.

Beliau berkata pada hari sama, mangsa menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadinya kepada individu tersebut di sebuah restoran berhampiran Pintu 2 Istana Negara.

“Pada 6 April lepas, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek. Mangsa juga melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah RM247,000 ke satu akaun lain yang diberikan oleh suspek antara 30 April hingga 17 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Mahidisham berkata mangsa turut menyerahkan wang tunai sebanyak RM150,000 kepada suspek.

Beliau berkata selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu lalu membuat semakan ke atas akaun yang diberikan suspek dan mendapati akaun tersebut adalah di atas nama syarikat yang tidak berdaftar.

“Identiti (suspek) masih belum diperoleh. Pengadu (mangsa) cuma bercakap menerusi telefon dan berjumpa sekali sahaja (dan dipercayai) ada tiga suspek dalam kes ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Mahidisham berkata pihaknya sedang memburu tiga individu bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan tanpa memeriksa transaksi pembayaran yang dibuat. Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu