Kuala Lumpur Post

Social

Pengasas KK Mart, isteri mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH, dua minggu lalu.

KK Chai, 57, Siew Mui, 53, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut semua pertuduhan, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd berniat dengan sengaja melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Semua tertuduh didakwa pada hari yang sama telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut di mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil daripada persubahatan mereka.

Kesalahan didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.