Social
94
0

Pengasas Sugarbook didakwa di Mahkamah

Shah Alam – Seorang lelaki yang juga pengasas aplikasi Sugarbook didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan  menyiarkan hantaran ‘Sugar Baby Malaysia’ sehingga menimbulkan kegentaran awam dua minggu lalu.

Tertuduh Chan Eu Boon, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sabreena Bakar@Bahari.

Mengikut pertuduhan Eu Boon didakwa telah menggunakan satu laman web menyiarkan sebuah hantaran (posting) yang bertajuk “Top 10 Sugar Baby In Malaysia” dengan niat hendak menyebabkan suatu ketakutan atau kegentaran kepada orang awam bahawa mana-mana orang akan terdorong untuk melakukan satu kesalahan bertentangan dengan ketenteraman awam.

Hantaran tersebut kemudian telah dilihat pada pukul 6.26 petang pada 10 Februari lalu di sebuah universiti di sini yang mana kesalahan itu dilakukan pukul 10 pagi pada tarikh yang sama.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya Aliff Ashraf Anuar Sharuddin menawarkan jaminan RM100,000 dengan alasan kesalahan yang dilakukan serius dan melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun peguam T.Shashi Devan memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri.

“Tertuduh masih bujang dan berhasrat untuk berkahwin tetapi ditangguhkan kerana keadaan negara (penularan wabak Covid-19), ” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Sabreena kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 26 Mac ini ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu suspek tiba di pekarangan kompleks Mahkamah Shah Alam pukul 9.40 pagi dengan bergari dan dikawal anggota polis. – Kosmo

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu