IPOH — Seorang pengasuh direman enam hari bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak dua tahun ketika di bawah jagaannya di sebuah rumah di Taman Cempaka, Ipoh.
Perintah reman hingga 13 Ogos terhadap wanita 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ipoh.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan wanita itu ditahan semalam susulan laporan bapa mangsa pada Isnin lalu selepas mendapati anak perempuannya tidak sedarkan diri di rumah pengasuh.
Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut, tetapi disahkan meninggal dunia pada 11.10 malam Selasa lalu.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.