Social
91

Pengasuh ditahan disyaki dera kanak-kanak autisme

Kuala Lumpur – Seorang pengasuh wanita ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, di sini hari Jumaat.

Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, pihak polis telah menerima satu laporan daripada bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata mangsa dipercayai didera pada 1 Okt lepas antara 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas bapanya mengambil anaknya, selain menemukan kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata.

Beliau berkata seorang cikgu di pusat asuhan berkenaan memaklumkan kepada bapa kanak-kanak itu terdapat kesan kemerahan pada tepi dahi kiri mangsa dan mendakwa mangsa menghantukkan kepala di meja atas alasan tidak mahu makan.

“Bapa mangsa kemudian bertindak melihat rakaman kamera litar tertutup tempat kejadian selain mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohamad Farouk berkata hasil siasatan lanjut mendapati wanita warga asing berumur 51 tahun itu merupakan pengurus di premis berkenaan turut menggajikan tiga pekerja warga tempatan yang juga berada di tempat kejadian.

“Wanita itu mempunyai tujuh pelajar termasuk mangsa yang kesemuanya OKU autisme. Hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan dikendalikan suspek telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan awal mendapati status lesen dimilikinya telah tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata pas lawatan wanita itu disyaki telah tamat tempoh dan dia direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan pas sosial tamat tempoh, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu