Social
109

Pengasuh taska mengaku tak bersalah dera kanak-kanak

Sepang – Seorang pengasuh taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di sebuah hospital di Serdang pada 8 Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nur Fatin Nabila Azmi, 23, mengaku tidak bersalah melakukan penderaan kepada kanak-kanak berumur setahun lapan bulan itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal mangsa ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Hisham Ahmad Jaafar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan, kejadian dilaporkan berlaku kira-kita jam 10.30 pagi di sebuah taska di kediaman kakitangan Hospital Serdang, Jalan Puchong, Kajang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa.

Noor Hisham kemudian membenarkan ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 dengan mengambil kira faktor tanggungan tertuduh yang mempunyai ibu bapa uzur dan menghidap penyakit kritikal.

Mahkamah menetapkan 26 Julai tarikh sebutan semula kes. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu