Kuala Lumpur Post

Social

Pengawal keselamatan didakwa bunuh anak 6 bulan

BANGI — Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di sebuah pangsapuri di Beranang, Selangor.

Mohamad Aizat Samin, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bapa dua anak itu didakwa membunuh Muhammad Aysar Wildan di sebuah pangsapuri di Beranang pada 14 April lalu antara 8 malam dan 7.40 pagi keesokannya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur liyana Mohd Sulaiman tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh sebutan untuk mengetahui laporan kimia, forensik, bedah siasat serta toksikologi.

Tertuduh diwakili peguam Arif Azmi. Pada prosiding itu, isteri tertuduh dilihat menangis di galeri awam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan kes bagi mengetahui perkembangan laporan itu.

Rabu lalu, Timbalan Ketua Polis Kajang, Mohamad Nasir Drahman dilaporkan berkata, lelaki itu membuat laporan pada 8.52 pagi memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri di pangsapuri berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan pada badan bayi itu, namun hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian kepala yang bukan disebabkan kemalangan,” katanya sambil menambah lelaki itu didapati positif syabu.