BUTTERWORTH — Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berumur setahun, yang dipercayai anak kekasihnya, dalam kejadian Ogos lepas.
S. Nagendren, 34, hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Muhamad Hayder Mukhriz Abdul Fatah yang berusia setahun antara 6.25 petang 23 Ogos sehingga 4.50 petang 26 Ogos lalu, di sebuah rumah di Pangsapuri Ampang Jajar di sini.
Pendakwaan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohd Farid dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 Mac 2024 untuk tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang remaja perempuan, teman lelakinya serta tujuh lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) disyaki mangsa dera.