KUALA LUMPUR — Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh penyelia kedai buku di sebuah sekolah menengah, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, Muhamad Yusri Latiff, 35, di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Muhamad Yusri didakwa menyebabkan kematian Fong Hsu Kei, 25, di Bengkel Pertanian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia, Cheras di sini, antara jam 1.45 hingga 5.30 petang, pada 12 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.
Chai Sia kemudian menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes, selain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna kuning dan diiringi pegawai polis tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, pada jam 10.30 pagi.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang wanita ditemukan rentung, disyaki dibunuh dan dibakar dalam bilik bengkel sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras.
Tertuduh yang masih bujang dilapor mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan cabul dan samun serta tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa, selain dipercayai cuba merogol wanita terbabit, sebelum membakar mayatnya di lokasi kejadian, lapor BH Online.