ALOR GAJAH — Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan sumbang mahram dan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan sejak 2018.
Lelaki berusia 39 tahun terbabit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syazana Abd Lajis.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua anak perempuannya berusia 13 dan 16 tahun di sebuah rumah di Durian Tunggal antara pertengahan November 2018 dan pertengahan Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan, selain Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali.
Hakim mengarahkan lelaki itu dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.
Tarikh 9 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.