Social
127

Pengedar dadah maut terjatuh tingkat 7

Kuala Lumpur – Seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh kediamannya ketika melarikan diri daripada polis di Jalan Ipoh kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kejadian itu berlaku pada 12.58 tengah hari di Flat Batu Permai, Jinjang ketika polis membuat serbuan di rumahnya.

Beliau berkata sebelum kejadian itu berlaku, polis yang melakukan serbuan mendapati pintu rumahnya berkunci dan ternampak seorang lelaki melarikan diri dari ruang tamu memasuki bilik tidur.

“Selang beberapa minit kemudian, seorang wanita warga Indonesia (isteri lelaki itu) telah keluar dari bilik berkenaan dan menyerahkan kunci pintu kepada pihak polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut telah tiada di dalam bilik tidur dan tiga keping cermin tingkap bilik itu telah ditanggalkan. Polis juga tidak menjumpai sebarang dadah di dalam bilik tidur berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beh berkata pemeriksaan lanjut di ruang tamu telah menemukan keratan plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis Metamfetamine dengan anggaran berat 0.27 gram.

“Polis meneruskan pencarian individu berkenaan serta mendapati dia telah berada di lantai bahagian belakang bangunan berkenaan dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tujuh,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati lelaki itu merupakan warganegara Indonesia berusia lingkungan 36 tahun dan hasil pemeriksaan ke atas badannya menemukan untuk alat menghisap dadah serta sepaket dadah di dalam poket seluar suspek. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu