Nation
99
0

PENGENDALIAN SEKSYEN 20- REPRESENTASI PEMULIHAN KERJA: KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Kuala Lumpur- Penularan wabak pandemik COVID-19 telah memberi impak besar kepada ekonomi negara. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac 2020, telah mengakibatkan banyak syarikat di negara ini terpaksa melaksanakan penamatan kerja terhadap pekerja-pekerja mereka.

“Sehubungan itu, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) telah menerima peningkatan jumlah bilangan kes representasi pemulihan kerja sepanjang tahun 2020,” menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Tahun lalu, pengendalian kes representasi pemulihan kerja meningkat kepada 9,142 kes berbanding 7,179 kes pada tahun 2019. Daripada keseluruhan kes yang dilaporkan, JPPM telah berjaya menyelesaikan sebanyak 6,275 kes.

Beliau turut menyatakan bahawa sebanyak 3,694 kes telah diselesaikan oleh JPPM melalui kaedah rundingan damai. Daripada jumlah itu, sejumlah 2,150 kes berjaya diselesaikan secara pembayaran ex-gratia yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM 50, 874, 675.24 dan seramai 196 orang telah berjaya dipulihkan semula ke jawatan asal. Pembayaran ex-gratia tertinggi yang diterima oleh perayu adalah sebanyak RM 1, 412, 120.00.

“Mengikut rekod JPPM, jumlah pembayaran secara ex-gratia pada tahun 2018 adalah sebanyak RM 22, 372, 549.14. Manakala bagi tahun 2019 pula adalah RM 47, 279, 565.39.”

“Antara inisiatif yang dilaksanakan JPPM bagi mempercepatkan pengendalian kes dan meningkatkan penyelesaian secara rundingan damai adalah dengan penglibatan pegawai-pegawai di ibu pejabat yang turut mengendalikan mesyuarat rundingan damai di negeri-negeri yang mempunyai kes tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur. Selain itu, rundingan damai lanjutan (third (3rd) layer conciliation) turut dijalankan di ibu pejabat untuk meningkatkan penyelesaian kes secara rundingan damai,” ujar beliau lagi.

“Untuk memudahkan pekerja memfailkan kes semasa tempoh PKP, JPPM juga telah mengambil inisiatif dengan menerima pemfailan kes secara dalam talian. Mesyuarat rundingan damai juga dilaksanakan secara dalam talian dengan persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja.”

“JPPM juga akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan penyelesaian kes melalui kaedah rundingan damai. Malah, majikan, pekerja serta kesatuan sekerja adalah digalakkan untuk menyelesaikan kes secara rundingan damai kerana ianya dapat menjimatkan masa dan kos di samping memelihara perhubungan perusahaan yang kondusif serta harmoni,” jelas beliau lagi.

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu