Kuala Lumpur Post

Social

Pengerusi, CEO Aman Palestin didakwa menipu, pecah amanah dana RM39.5 juta

SHAH ALAM — Pengerusi Eksekutif, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan seorang pengarah syarikat pelaburan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 164 pertuduhan pengubahan wang haram, menipu dan pecah amanah membabitkan dana berjumlah RM39.5 juta.

Bagaimanapun, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58; Awang Suffian Awang Piut, 52; serta Khairudin Mohd Ali, 49, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap Aman Palestin tertumpu mengenai wang dibelanjakan pertubuhan itu termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat.

Katanya, turut disiasat mengenai pelaburan jongkong emas oleh Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di beberapa negara termasuk Palestin dan Syria.