Politics
336

“Pengerusi SPR perlu letak jawatan” : Kit Siang

Kuala Lumpur – Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan selepas gagal melaksanakan dasar undi 18 tahun untuk pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Lim berkata, pengumuman Datuk Abdul Ghani Salleh semalam melanggar kuasa parlimen yang sudah meminda perlembagaan pada Julai 2019 bagi membolehkan rakyat Malaysia berumur seawal 18 tahun layak mengundi dan menjadi pengundi berdaftar secara automatik.

Katanya pindaan itu juga digazetkan pada 10 September 2019.

“Abdullah Ghani Salleh perlu meletakkan jawatan sebagai pengerusi SPR dan memberi laluan kepada pengerusi baru yang boleh memenuhi mandat parlimen bagi memastikan rakyat Malaysia berumur 18 tahun boleh mengundi pada PRU akan datang,” kata wakil rakyat Iskandar Puteri itu dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani semalam mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksana selepas 1 September tahun depan.

Katanya, pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan persiapan SPR menjayakan proses itu yang sepatutnya dijangka bermula Julai depan.

Menurutnya, rekod terkini SPR menunjukkan jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta orang dan 1.2 juta daripadanya berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Katanya, individu berusia 21 tahun dan ke atas yang layak mengundi tetapi belum membuat pendaftaran sebagai pemilih pula seramai 4.4 juta orang.

Mengulas lanjut, Lim berkata keputusan itu tidak boleh diterima sama sekali dan Abdul Ghani sepatutnya dipecat jika parlimen tidak digantung.

“Abdul Ghani Salleh perlu ada integriti dan maruah untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi SPR memandangkan beliau tidak memenuhi komitmen parlimen untuk menurunkan had umur pengundi kepada 18 pada PRU akan datang,” katanya. – Malay Mail

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu