Politics
5K

Pengerusi Tetap Srikandi JB, timbalan, 6 AJK letak jawatan

Johor Bahru – Pengerusi Tetap Srikandi Bahagian Johor Bahru, Masazlina Bachok bersama timbalannya, Khairunnisah Ali dan enam ahli jawatan kuasa (AJK) sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa, semalam.

Surat melepaskan jawatan disandang mereka itu ditujukan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Masazlina yang juga Ketua Srikandi Cawangan Taman Abad berkata, peletakan jawatan mereka dibuat kerana Ketua Srikandi Bahagian Johor Bahru, Datuk Azlinda Abdul Latif tidak menunjukkan ketelusan dalam kepemimpinan.

Menurutnya, Azlinda yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri bersikap lepas tangan dan menganggap remeh setiap perkara yang dibangkitkan selain kepimpinan yang dilihat berat sebelah.

“Suara akar umbi juga kurang mendapat perhatian seolah-olah wujud pentadbiran kayangan. Mereka juga dilihat mengamalkan perpecahan dalam parti dan mengenepikan perlembagaan parti yang menerapkan nilai penyatuan.

“Selain itu pelantikan Penasihat Srikandi dibuat tanpa persetujuan dan perbincangan bersama-sama AJK yang dipilih,” katanya di sini hari ini.

Pada 16 Mei lalu, bekas Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor, Nur Najihah Abdul Halim menolak jawatan baharunya dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor susulan penstrukturan semula Srikandi Muda Negeri Johor.

Sementara itu pada 20 Mei pula, Nor Jazreeniza Mad Jaafar dan Nur Sofea Ariessa Azizul masing-masing mengumumkan peletakan jawatan mereka sebagai Ketua Penerangan Srikandi Muda Negeri Johor dan Bendahari Biro Srikandi Muda Johor.

Tambah Masazlina, Ketua Srikandi bahagian itu juga tidak membawa soal pemilihan atau pencalonan jawatankuasa lantikan, pelantikan Pengerusi-Pengerusi Biro serta Pengerusi Biro Srikandi Muda.

“Mesyuarat yang diadakan kebiasaannya dihadiri mereka yang tidak sepatutnya ada bagi menyokong sebarang keputusan.

“Ketua Srikandi tidak bersifat terbuka terhadap pandangan dan pendapat barisan G5, G10, AJK Srikandi bahagian yang dipilih dan juga Ketua Srikandi cawangan. Tiada kesefahaman antara mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, mereka masih menjadi ahli Bersatu dan tiga daripadanya masih menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Srikandi cawangan di Taman Abad, Bandar Baru Uda dan Kebun Teh. — Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu