Nation
82

Penggulungan RMK12 bermula hari ini

Kuala Lumpur – Hari ini, bermula sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat oleh kementerian selepas rancangan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 itu dibahaskan di Parlimen.

Seramai 106 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK-12 selepas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 27 September lalu.

Antara isu dibangkitkan Ahli Parlimen dalam perbahasan selama empat hari bermula 28 September lalu itu ialah kesihatan, vaksin COVID-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca COVID-19, serta pengurusan bekalan air negara.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 2021 dalam portal Parlimen, sesi penggulungan oleh kementerian dijadualkan berlangsung hingga Khamis ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan hari ini dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan Menteri membabitkan soalan untuk Perdana Menteri berkaitan sekuriti tenaga (energy security) di negara ini ketika berlaku krisis tenaga global, dan hala tuju bagi meningkatkan sekuriti tenaga negara.

Dua lagi soalan pada sesi itu adalah untuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai adakah kementerian bercadang menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA (Online Travel Agent), dan Menteri Perpaduan Negara berkaitan sejauh mana Tabika Perpaduan memainkan peranan dalam memupuk nilai perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) meminta Menteri Pengajian Tinggi untuk menyatakan setakat manakah tahap kebolehpasaran graduan ketika pandemik COVID-19, dan langkah bagi menyediakan graduan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.

Turut ditanya ialah soalan mengenai keberkesanan modul sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang diajukan oleh Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu