Kuala Lumpur Post

Social

Penghantar barang ditahan bersama 41kg dadah

MELAKA — Seorang penghantar barang ditahan bersama 41.28 kg dadah jenis ganja dan 300 botol vape yang dipercayai mengandungi cecair ganja dianggarkan bernilai RM130,971 di kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan pada 24 Mac lepas.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata lelaki berumur 45 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan IPK Melaka pada 1.35 tengah hari.

Beliau berkata lelaki berkenaan ditahan selepas risikan lebih sebulan dilakukan terhadap pergerakannya yang berperanan sebagai pengedar dadah di sekitar Melaka sejak awal tahun lepas.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek berada seorang diri dan pemeriksaan terhadap van yang dipandu mendapati kesemua dadah terbabit disimpan di dalam bonet.

“Dadah yang dirampas termasuk dalam bentuk cecair yang dijual di dalam botol vape itu dipercayai boleh digunakan sebanyak 206,405 penagih dadah dan vape berkenaan dipercayai turut dijual kepada golongan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala ujan air kencing yang dilakukan adalah negatif.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 30 Mac bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Dalam pada itu, Zainol berkata masyarakat diharap dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan masing-masing di sekitar negeri itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka melalui talian 012- 2087222.