Nation
257

Pengorbanan patuhi SOP satu jihad besar : PM Muhyiddin

Kuala Lumpur – Pengorbanan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, termasuk tidak melakukan aktiviti merentas negeri dan saling menziarahi semasa Hari Raya Aidiladha, merupakan jihad besar di sisi Allah SWT dalam ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun kerajaan menguatkuasakan beberapa larangan tertentu mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun beliau percaya kemeriahan sambutan tetap dirasakan.

“Ini bermakna, saudara saudari perlu terus berada di rumah dan menyambut Aidiladha dengan keluarga di rumah secara sederhana. Panduan dan SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa perlu kita patuhi kerana ia semata-mata untuk memenuhi tuntutan syarak dalam melindungi nyawa kita daripada bahaya COVID-19.

“Namun berita baiknya ialah kita membenarkan pelaksanaan Solat Sunat Aidiladha dan Solat Jumaat dengan diperluaskan kuantitinya kepada 50 orang. Bagaimanapun Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri akan menetapkan SOP mengikut kesesuaian di negeri atas perkenan Sultan-Sultan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Khas Bersempena Hari Raya Aidiladha 1442H/2021 yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Sementara itu Muhyiddin menyifatkan petugas barisan hadapan yang terdiri daripada kalangan petugas kesihatan, keselamatan, penjawat awam, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mempamerkan bentuk pengorbanan yang tinggi dalam melawan wabak COVID-19 semenjak lebih setahun lalu.

“Saya sangat menghargai pengorbanan ini. Saya doakan agar pengorbanan saudara dan saudari petugas barisan hadapan, malah pengorbanan rakyat secara umumnya akan dikurniakan ganjaran terbaik di sisi Allah SWT,” katanya.

Menyentuh mengenai ibadah korban, Perdana Menteri berkata pelaksanaannya kali ini sedikit berbeza dengan sebelumnya kerana perlu mematuhi garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Veterinar bagi melindungi nyawa orang ramai daripada bahaya COVID-19.

Sementara itu, katanya ramai sedih apabila terpaksa menangguhkan semua urusan berkaitan operasi musim haji tahun ini susulan keputusan pihak berkuasa Arab Saudi tidak membenarkan jemaah negara luar ke Tanah Suci atas faktor ancaman COVID-19, dan Perdana Menteri berharap umat Islam dapat menerima ketentuan itu dengan penuh reda, sabar dan berlapang dada.

“Peluang untuk menunaikan ibadah haji merupakan saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Kita semua rindukan kesempatan untuk mengunjungi Baitullah al-Haram dan menziarahi maqam Rasulullah SAW ketika berada di tanah suci,” katanya sambil berharap semoga tahun depan umat Islam di Malaysia dapat mengerjakan ibadah haji.

Muhyiddin turut mengajak umat Islam bersama-sama membacakan Al-Fatihah kepada mereka yang telah pulang ke Rahmatullah akibat COVID-19, selain berdoa agar individu yang sedang menerima rawatan akibat jangkitan virus itu segera sembuh.

“Kepada Allah SWT kita mohonkan semoga wabak COVID-19 segera berakhir. Sesungguhnya, pertolongan dan rahmat Allah itu bersama hamba-hambanya yang sentiasa berusaha gigih, bersabar dan bertawakal. Insya-Allah kita akan berjaya.

“Saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aildiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya kepada barisan petugas hadapan yang telah mengorbankan masa dan tenaga mereka demi memastikan keselamatan dan kesihatan kita semua. Maaf zahir dan batin,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu