Nation
84

Pengurusan kes rayuan Najib berhubung penolakan gugur Sri Ram pada 1 Jun

Putrajaya – Mahkamah Rayuan menetapkan 1 Jun untuk satu lagi pengurusan kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad melibatkan bekas perdana menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, apabila dihubungi mengesahkan tarikh pengurusan kes seterusnya untuk rayuan itu. Beliau berkata peguam Najib telah memfailkan petisyen rayuan semalam.

Kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini. Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam hadir bagi pihak pendakwaan dan peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib.

Pada 15 Feb, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Najib untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan (Sri Ram) daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB.

Dalam keputusannya, Hakim Mohamad Zaini berkata dakwaan Najib bahawa Sri Ram terlibat dalam siasatan terhadapnya sebagai tidak mempunyai merit dan dakwaan Najib sikap berat sebelah Sri Ram terhadapnya adalah tidak berasas serta tidak bertempat.

Ahli Parlimen Pekan itu menjadikan komunikasi di antara bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Sri Ram sebagai bukti berat sebelah Sri Ram terhadapnya.

Najib, 67, dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan ke atas laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan tersebut bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu