Nation
121

Pengurusan sekolah dibenar periksa sijil vaksinasi guru : Radzi

Melaka – Pengurusan sekolah dibenar memeriksa sijil vaksinasi guru bermula hari ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata ia bagi memastikan tiada guru yang culas dalam mematuhi pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

“Mulai hari ini pihak sekolah akan memeriksa sijil digital vaksinasi ini untuk memastikan setakat mana guru-guru yang betul-betul (mengambil vaksin). Maknanya dah periksa satu persatu sijll vaksinasi ini untuk memastikan yang mana kata dah divaksinkan, betul-betul dah divaksinkan atau yang kata mana tak divaksinkan, betul-betul belum divaksinkan.

“Sebab kami tak nak ada kes-kes tertentu yang mana ada kes kata ada vaksin, tapi tak divaksinkan dan sebagainya.

“Jadi kami akan pastikan setiap guru itu akan disemak sijil vaksin mereka oleh pihak sekolah bagi memastikan data terkini yang ada ini pada 1 Nov adalah data yang tepat dan untuk membolehkan jika sebarang tindakan diambil kemudian, tindakan itu adalah berdasarkan data yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan sesi libat urus di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini hari ini.

JPA dalam satu pekeliling sebelum ini mewajibkan penjawat awam termasuk guru untuk mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 Nov, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Radzi berkata tindakan itu perlu diambil bagi memastikan guru bersama Kementerian Pendidikan dapat mewujudkan persekitaran yang selamat kepada murid dan pelajar sekolah ketika negara masih berdepan ancaman COVID-19.

“Jadi kita kena faham bahawa guru ini sentiasa bersama dengan murid. Selain melibatkan murid ia juga melibatkan ibu bapa.

“Jadi (amat penting) untuk guru-guru ini bersama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan persekitaran selamat dan meyakinkan ibu bapa bahawa sekolah ini adalah satu persekitaran selamat. Maka amat penting untuk guru-guru memastikan bahawa mereka divaksinkan,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata seramai 694,531 murid Tahun Satu, Dua dan Tiga manakala 652,142 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat memulakan persekolahan di negeri yang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hari ini membabitkan Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu