Social
77

Peniaga durian rugi RM178,132

Kuantan – Seorang peniaga durian di Raub mendakwa kerugian RM178,132 setelah menyertai pelaburan tidak wujud yang diperkenalkan rakan media sosial yang baru dikenalinya bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 28 tahun itu mendakwa berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi Momo pada 19 Mac lalu, disusuli dengan perbualan melalui WhatsApp.

“Wanita itu dikatakan telah berkongsi maklumat pelaburan dengan jaminan pulangan hebat menyebabkan mangsa yang ingin mencuba, telah ke pautan laman web diberikan suspek dan melabur RM500.

“Mangsa mendakwa menerima keuntungan sebanyak RM807 beberapa hari selepas melabur, menyebabkan dia bersetuju dengan cadangan suspek untuk menggandakan pelaburan kepada RM200,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa bagaimanapun hanya mendepositkan wang berjumlah RM178,132 melalui 17 transaksi dalam talian ke empat akaun berbeza yang oleh diberikan suspek mulai hujung Mac hingga awal April lepas.

Mangsa mendakwa dirinya turut menerima pesanan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali memaklumkan pelaburan dibuatnya ‘berjaya’ memperoleh keuntungan sebanyak RM218,715.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak dapat mengeluarkan wang itu atas alasan masalah teknikal sistem pelaburan dan diminta menjelaskan bayaran 50 peratus daripada jumlah keuntungan menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub kira-kira 232 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu