Social
182

Peniaga mengaku tidak bersalah guna nama Ahmad Maslan tipu RM50,000

Seberang Perai – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdaya seorang individu sebanyak RM50,000 dengan mengaku sebagai pembantu peribadi kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pada 2015.

Tertuduh, Kamarul Ramizu Idrus, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba menipu dan memperdaya seorang lelaki berusia 28 tahun untuk menyerahkan wang RM50,000 dengan mempercayai dia merupakan pembantu peribadi Timbalan Menteri Kewangan dan akan mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan emas.

Kamarul Ramizu didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Julai 2015.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan Pegawai Pendakwa Siti Mastura Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norhayati kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin dan perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes, lapor Kosmo Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu