Nation
210
0

Peningkatan kes COVID-19 kluster tempat kerja membimbangkan – Dr Noor Hisham

Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, meluahkan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah kluster membabitkan tempat kerja mutakhir ini.

Beliau berkata, sejak 6 Januari sehingga kelmarin, sejumlah 350 kluster baharu dilaporkan dengan 225 atau 64.3 peratus daripadanya kluster berkaitan tempat kerja.

“Kluster berkaitan perkilangan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 80 kluster diikuti kluster berkaitan pembinaan sebanyak 53 kluster dan kluster berkaitan perkhidmatan sebanyak 31 kluster,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 di sini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi tempoh sama, sejumlah 112,225 individu disaring dan 28,477 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster-kluster ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua majikan dan pekerja supaya bersama-sama memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) membendung penularan COVID-19 di tempat kerja dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pengarah itu berkata, majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif di samping memastikan pekerja sentiasa mengamalkan langkah pencegahan jangkitan termasuk pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki tempat kerja.

Menurut Dr Noor Hisham, pekerja juga perlu mengelak berkumpul di ruang sempit, mengelak terlalu ramai pekerja bersama pada satu-satu masa serta memastikan jarak satu meter semasa pekerja bertutur sesama mereka.

“Selain itu, pekerja diingatkan bahawa setelah pulang bekerja, mereka akan bercampur dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat di mana risiko jangkitan COVID-19 masih ada.

“Oleh itu, seperti mana juga di tempat kerja, pekerja diminta patuh kepada semua peraturan dan SOP ditetapkan agar risiko penularan dalam masyarakat dapat dikurangkan,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu