Nation
686

Penjawat awam boleh bayar insurans kenderaan, cukai jalan melalui potongan gaji

Putrajaya – Penjawat awam berpeluang membuat pembayaran ansuran untuk memperbaharui insurans kenderaan bermotor milik sendiri dan cukai jalan tanpa faedah melalui potongan gaji.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata inisiatif itu boleh membantu penjawat awam yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, kemudahan itu akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) dan sebuah syarikat takaful.

“Ketika ini premium insurans kenderaan dan cukai jalan cukup mahal. Jadi, penjawat awam akan diberi ruang dan peluang untuk membayar secara ansuran,” katanya pada sidang media selepas memulakan tugas secara rasmi di KSM di sini hari ini bersama timbalannya, Datuk Awang Hashim.

Saravanan yang kembali menerajui KSM di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah antara 20 inisiatif khas berimpak besar yang akan dilaksanakan sebagai pencapaian 100 hari pertama seperti yang dikehendaki Perdana Menteri.

Beliau berkata, kemudahan itu juga mungkin diperluaskan kepada pesara kerajaan setelah perbincangan mengenainya dengan pihak berkepentingan diperhalusi.

Sementara itu, katanya, KSM menerusi PERKESO akan meneruskan cadangan untuk melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) iaitu perlindungan keselamatan sosial untuk kira-kira 2.99 juta surirumah pada tahun depan.

“Seramai 150,000 surirumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh kerajaan di bawah skim terbabit. Penyertaan adalah secara sukarela bagi surirumah yang lain,” katanya.

SKSSR yang menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit atau kematian, adalah pengiktirafan kepada peranan surirumah dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.

Dalam pada itu, bagi pencapaian 100 hari, Saravanan berkata, tumpuan akan diberikan kepada lima bidang utama, iaitu pembangunan kemahiran, perkhidmatan pekerjaan dan pematuhan aspek perburuhan, perhubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta perlindungan sosial, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu