Nation
396
0

Penjawat awam Johor terima setengah bulan bonus, minimum RM1,000

Iskandar Puteri – Penjawat awam negeri Johor akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 dengan bayaran dibuat sebelum akhir tahun ini.

Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

“Kepada penjawat awam negeri yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran pentadbiran, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan tahun 2020 kepada kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri Johor.

“Bantuan khas kewangan ini juga akan dipanjangkan kepada semua guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ),” katanya.

Selain penjawat awam, Hasni berkata belanjawan negeri itu turut menumpukan agenda kebajikan menerusi bantuan secara sekali bayar (one-off) kepada pelbagai golongan yang memberi kelegaan langsung dalam mengharungi kehidupan khususnya menangani COVID-19.

Katanya, bantuan berkenaan adalah satu intervensi dan bantuan segera kepada golongan yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.

“Pertama, pemberian wang tunai RM300 secara sekali bayar selama dua bulan kepada 26,626 penerima dalam senarai e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM15.98 juta.

“Selain itu, pemberian one-off sebanyak RM500 kepada 47,159 penyewa premis, pasar awam, peniaga pasar malam dan pasar tani berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Johor dengan peruntukan keseluruhan RM23.58 juta, one-off RM500 kepada 5,205 pemilik teksi, teksi limosin dan teksi lapangan terbang dengan keseluruhan RM2.6 juta dan one-off RM150 kepada 35,000 mahasiswa anak Johor daripada keluarga B40 dengan keseluruhan peruntukan RM5.2 juta,” katanya.

Turut menerima one-off RM500 adalah 2,071 pengusaha bas sekolah berdaftar dengan peruntukan keseluruhan RM1 juta, one-off RM100 kepada 20,000 pemandu dan penghantar makanan syarikat e-hailing yang berdaftar di Johor dengan keseluruhan peruntukan RM2 juta serta one-off RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah yang berasal dari keluarga berpendapatan RM3,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Jika sebuah keluarga mempunyai anak seramai lima orang dan bersekolah di peringkat rendah mahupun menengah, mereka akan menerima RM500. Inisiatif ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM18.94 juta dan memberi manfaat kepada 189,389 pelajar serta pelengkap kepada bantuan diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan,” katanya.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan, menteri besar berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM200 kepada 30,000 petugas dengan jumlah peruntukan RM6 juta.

“Dalam usaha meringankan kesusahan masyarakat yang memerlukan, kerajaan negeri Johor akan melaksanakan inisiatif Bantuan Bank Makanan kepada golongan miskin bandar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11 juta.

“Pada masa sama, Skim Pemberian Air Percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan B40 negeri Johor akan diteruskan. Ini program kerajaan lepas yang kita rasakan satu perkara baik dan akan diteruskan. Seramai 200,000 isi rumah dianggarkan menerima manfaat daripada skim ini,” katanya.

Menurut Hasni, bagi penggiat industri pelancongan pula, mereka akan menerima insentif berjumlah RM5 juta iaitu insentif one-off RM1,000 kepada pemandu pelancong berdaftar di Johor, pemberian bantuan insentif one-off membabitkan peruntukan RM320,000 kepada 16 persatuan pelancongan negeri dan daerah, serta pemberian one-off RM2,000 kepada 586 syarikat agensi pelancongan.

Sementara taman tema dan pusat hiburan keluarga pula dikecualikan daripada pembayaran duti hiburan serta pembayaran lesen perniagaan membabitkan 1,031 syarikat berkaitan pelancongan. – Bernama

 

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu