Kuala Lumpur Post

Social

Penjawat awam minta suapan daripada OKU ditahan

KUALA LUMPUR — Seorang penjawat awam disyaki meminta suapan RM450 bagi meluluskan bantuan kebajikan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu disyaki meminta suapan daripada seorang individu bagi meluluskan bantuan bulanan dari sebuah jabatan kerajaan bulan lalu.

“Pada 19 Februari lalu, suspek menghubungi individu terbabit dan meminta wang rasuah diberikan kepadanya selepas wang bantuan bulanan diperoleh individu berkenaan.

“Suspek ditahan jam 8.30 malam di Balik Pulau ketika menerima wang rasuah yang diminta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 27 Februari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang, pagi tadi,” katanya.