Social
582

Penjawat awam rugi RM395,000 ditipu

Kota Bharu – Seorang penjawat awam wanita dari Machang mengalami kerugian RM395,000 selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai kakitangan insurans dan pegawai polis.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam laporan diterima pada 2 Dis, mangsa berusia 50-an itu menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa sebagai pihak insurans pada Sept lepas dengan memaklumkan bahawa mangsa telah membuat tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM70,000.

Beliau berkata pada hari sama, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek berbeza yang menyamar sebagai pegawai polis dengan mendakwa hasil semakan lanjut ‘mereka’ mendapati mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan akan ditangkap.

“Mangsa kemudiannya diberitahu sekiranya hendak menyelesaikan kes ini, mangsa diminta untuk menyediakan wang jaminan sebanyak RM500,000.

“Oleh kerana ketakutan, mangsa telah mendedahkan semua maklumat akaun bank miliknya kepada ‘pegawai polis’ tersebut serta dilarang oleh suspek untuk memberitahu kepada sesiapa berkenaan siasatan ‘polis’ yang sedang dijalankan kerana bimbang mengancam keselamatan diri dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafien berkata, lebih kurang seminggu kemudian, mangsa diarahkan oleh suspek untuk mengumpulkan semua wang miliknya ke dalam satu akaun bank sahaja.

“Mangsa mengeluarkan wang simpanan daripada beberapa institusi kewangan bank berjumlah RM115,000 dan memasukkannya ke dalam satu akaun bank yang telah dipilih oleh suspek.

“Sebelum itu, mangsa juga telah membuat pinjaman dari dua bank berbeza dengan jumlah RM280,000 bagi tujuan menyediakan wang jaminan sebelum dipindahkan ke akaun bank sama,” katanya.

Bagaimanapun, pada 2 Dis, Shafien berkata mangsa telah membuat semakan baki akaun di bank berkenaan dan mendapati semua wang simpanan serta wang pinjaman yang dibuatnya sebelum ini telah dipindah keluar tanpa kebenaran.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu