Kuala Lumpur Post

Social

Penjenayah mati berbalas tembakan dengan polis

BUKIT MERTAJAM — Penjenayah solo yang dikehendaki dalam dua kes samun, ditembak mati polis ketika insiden berbalas tembakan di Jalan Sungai Lembu di sini, 12.35 tengah malam tadi.

Terdahulu, suspek berusia 44 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dilihat dalam keadaan mencurigakan semasa sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang melakukan rondaan cegah jenayah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pegawai polis terbabit kemudian memperkenalkan diri sebelum meminta suspek memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun katanya, suspek enggan memberikan kerjasama dan memecut kenderaannya serta melepaskan tembakan ke arah polis.

“Pasukan D9 turut melepaskan tembakan dan suspek memecut laju kenderaannya sejauh 200 meter (m), sebelum terbabas.

“Suspek yang keluar dari kenderaannya kemudian mengacukan pistol ke arah pasukan D9 dan bagi mempertahankan diri, polis sekali lagi melepaskan beberapa tembakan ke arah suspek. Suspek kemudiannya ditemukan mati berhampiran kenderaan berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelasnya, semakan mendapati SUV yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia digunakan dalam dua kes samun membabitkan premis nombor ekor dan kedai runcit di Butterworth, baru-baru ini.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau membabitkan kes samun dan dadah, kes mengikut Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 dan kerap keluar masuk (penjara) Simpang Renggam.

“Suspek didapati aktif melakukan kesemua jenayah ini di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, suspek yang berasal dari Pulau Pinang giat melakukan jenayah samun bersenjata secara solo merbahaya dengan modus operandinya menggunakan pistol bagi menakutkan mangsa.

“Polis merampas pistol semiautomatik yang digunakan suspek dalam kejadian berbalas tembakan ini,” katanya.

Tags: , ,