Social
222

Penjenayah rempuh polis hingga maut ditahan

George Town – Polis berjaya memberkas seorang penjenayah yang merempuh seorang anggota polis berpangkat Konstabel sehingga maut di Jalan Utama di sini awal pagi tadi.

Suspek lelaki berusia 35 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di lokasi kejadian kira-kira pukul 1 pagi.

Dalam kejadian itu, anggota yang bertugas di Balai Polis Dato Keramat, Muhammad Iqbal Mazlan maut di tempat kejadian akibat motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terhantuk pada pembahagi jalan ketika mengejar suspek dari Jalan Scotland.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, semasa kejadian anggota terbabit bersama dua lagi anggota sedang menjalankan rondaan cegah jenayah lalu terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek bertindak melarikan diri sebaik pemeriksaan dijalankan dengan menunggang motosikal secara berbahaya.

“Siasatan mendapati, suspek menunggang secara zig zag semasa aksi mengejar berlaku. Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek telah menghimpit motosikal yang ditunggang anggota menyebabkan mangsa terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anggota maut ditempat kejadian manakala suspek turut diberkas di lokasi sama. Siasatan lanjut mendapati, suspek positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan ganja,” katanya.

Katanya lagi, siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau iaitu enam dadah dan lima jenayah.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu