Social
147

Penolong pengurus didakwa buat hantaran jelik di Twitter

Kota Tinggi – Seorang penolong pengurus syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di laman Twitter pada Oktober tahun lepas.

Mohamad Arif Ahmad, 29, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran satu komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan laman profil ‘Uncle Ireeve@mxdriv’ pada 9.20 pagi, 25 Okt 2020.

Pautan itu kemudian dibaca pada 3.30 petang, hari yang sama di Kedai Makan, Air Papan di Daerah Mersing.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan agar tertuduh tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial mengenai kes itu.

Bagaimanapun, peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili Mohamad Arif memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh menanggung ibu bapanya yang mempunyai beberapa penyakit dengan pendapatan RM2,500 sebulan.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menasihati tertuduh agar tidak membuat sebarang komen di media sosial mengenai kes itu.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Ogos ini, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu