Social
197
0

Pensyarah ditahan edar dadah

Kuala Lumpur – Seorang pensyarah sebuah universiti di Selangor ditahan semalam, selepas dikesan mengedarkan dadah jenis ganja secara dalam talian.

Pensyarah berusia 31 tahun itu ditahan di Jalan Pahang di sini, susulan penahanan seorang lelaki berusia 19 tahun oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, atas kesalahan memiliki dadah jenis ecstacy (MDMA) di tepi jalan di Jalan Kuchai Lama, di sini, pada jam 2 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata soal siasat ke atas lelaki yang ditahan Jalan Kuchai Lama, itu membawa kepada penahanan pensyarah terbabit.

“Suspek mendakwa mendapat bekalan dadah dan ganja menerusi laman sesawang daripada seorang lelaki, sebelum dikesan di Jalan Pahang.

“Ketika ditahan, pihak polis merampas dadah jenis ganja, serbuk MDMA, 10 kapsul MDMA dan 19 keping LSD,” katanya dalam satu kenyataan.

Anuar berkata, pensyarah terbabit turut positif dadah jenis ganja menerusi ujian air kencing dan dipercayai aktif mengedar dadah sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, bekalan dadah yang dirampas daripada pensyarah itu berjumlah RM7,480 dan boleh digunakan 500 orang jika beredar di pasaran.

“Siasatan masih diteruskan bagi membolehkan polis mengenal pasti rangkaian dan saki-baki sindiket pengedaran dadah terbabit,” katanya.

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu