Kuala Lumpur Post

Social

Penukaran agama wanita kepada Islam pada usia 4 tahun batal dari awal : Peguam

PUTRAJAYA — Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan  mendengar rayuan dikemukakan seorang wanita berusia 37 tahun yang mendakwa penukaran agamanya kepada Islam pada 1991 ketika berusia empat tahun atas alasan ibunya memeluk Islam, adalah terbatal dari awal.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili wanita itu berhujah, penukaran agamanya kepada Islam melanggar Seksyen 147 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor 1952, undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa pada masa itu, yang melarang penukaran agama kanak-kanak kepada Islam.

Beliau berkata, memandangkan negeri melarang kanak-kanak memeluk Islam, penukaran agamanya adalah batal dan beliau tidak pernah beragama Islam.

“Susulan itu, sebarang perintah atau keputusan mahkamah yang dibuat Mahkamah Syariah tidak terpakai kepadanya kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesnya,” katanya kepada panel hakim membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Abu Bakar Jais.

Malik berkata, bapa wanita itu seorang penganut agama Hindu dan ibunya penganut Buddha memeluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki beragama Islam selepas bercerai pada 1991.

Beliau berkata, ibu kanak-kanak itu juga mengesahkan dalam afidavit bahawa bapa kanak-kanak itu, yang meninggal dunia pada Mac 1996, tidak pernah bersetuju dengan penukaran agama anak perempuan mereka.

Katanya, pada mulanya, anak guamnya pergi ke Mahkamah Syariah dalam usaha mendapatkan perisytiharan dia bukan Islam selepas membaca laporan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy.

Pada 12 Disember 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan dia tidak lagi beragama Islam.

Pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi sivil memohon perisytiharan beliau bukan individu menganut agama Islam, selain menamakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Pada 21 Disember 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan beliau bukan seorang Islam tetapi keputusan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada 13 Januari tahun lalu berikutan rayuan oleh MAIS dan Kerajaan Selangor.

Wanita itu diberi kebenaran meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan pada 23 Mei tahun lalu atas enam soalan perundangan dan Mahkamah Persekutuan menetapkan hari ini untuk mendengar rayuannya.

Mahkamah hanya mendengar hujah Malik hari ini dan menangguhkan pendengaran ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian bagi membolehkan peguam mewakili MAIS dan Kerajaan Selangor memfailkan hujahan bertulis tambahan dan peguam wanita itu menjawab hujah tambahan itu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda bertindak bagi MAIS dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid mewakili kerajaan negeri.

Tags: , , ,