Kuala Lumpur Post

Social

Penuntut meninggal dunia kemalangan dengan ambulans

KUALA LUMPUR —  Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang kemalangan dengan ambulans di persimpangan lampu isyarat hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini kelmarin disahkan meninggal dunia selepas 18 jam bertarung nyawa,

Umie Elysha Lyana Basharuddin, 22, menghembuskan nafas terakhir pada 10.38 pagi semalam ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa terbabit kemalangan itu pada 4.30 petang Rabu.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang Modenas Kriss dari arah Bulatan Ladang menghala ke rumahnya di Manir, manakala ambulans dipandu petugas lelaki usia 52 tahun dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi, ambulans cuba membelok ke kanan untuk masuk ke pekarangan HSNZ, namun bertembung dengan motosikal mangsa menyebabkan dia parah.

“Mangsa segera dibawa ke hospital untuk rawatan, namun kita menerima maklumat daripada waris memaklumkan penuntut itu meninggal dunia pada 10.38 pagi,” katanya.

Beliau berkata, punca kematian akibat kecederaan serius di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.