Nation
171

Perbicaraan kes 1MDB Najib disingkat, Shafee perlu bincang dengan peguam

Kuala Lumpur – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dihentikan lebih awal hari ini selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menghentikan prosiding lebih awal kerana peguam utama bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, perlu berjumpa dengan peguamnya berhubung perbicaraan pengubahan wang haram membabitkan beliau yang dijadualkan bermula esok.

Peguam berumur 69 tahun itu berhadapan dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang dikatakan diterima daripada Najib, dan dua pertuduhan kerana membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbicaraannya akan berlangsung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada pukul 9.00 pagi.

Dalam perbicaraan hari ini yang bermula pada pukul 11 pagi, Najib dan pasukan pembelaannya pada mulanya mempunyai satu lagi kes lain di hadapan Hakim Muhammad Jamil.

Apabila perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini, Muhammad Shafee memohon mahkamah menamatkan perbicaraan pada pukul 2.00 petang kerana beliau perlu bertemu dan berbincang dengan peguamnya berhubung kes pengubahan wang haram.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak membantah permohonan Muhammad Shafee, dan Hakim Sequerah mengarahkan perbicaraan berhenti pada pukul 2.45 petang.

Seorang lagi peguam Wan Aizuddin Wan Muhammed kemudiannya meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10 Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Mohd Hazem bersetuju terhadap satu soalan yang dibangkitkan peguam, bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa Low Taek Jho atau Jho Low sering membuat keputusan berkaitan kewangan dengan menggunakan dokumen yang tidak dilaksanakan dengan baik.

Wan Aizuddin: Nampaknya wang daripada bon yang dikumpulkan oleh 1MDB pergi ke serata arah, dan ia pergi ke syarikat-syarikat yang di bawah kawalan Jho Low.

Mohd Hazem: Ya.

Wan Aizuddin: Jho Low menggunakan wang yang dikumpulkan oleh bon itu seolah-olah ia miliknya. Adakah anda bersetuju Jho Low juga sering sering menghantar dokumen menggunakan teknik “copy and paste” ke bank?

Mohd Hazem: Ya.

Mohd Hazem bagaimanapun tidak bersetuju dengan satu cadangan oleh peguam itu bahawa sebab beliau tidak pasti mengenai tindakan Jho Low menggunakan wang dari bon itu adalah kerana beliau melindungi ahli perniagaan berkenaan.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung Isnin. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu