Nation
239

Perbincangan mekanisme subsidi minyak masak di peringkat akhir : Khairuddin

Kuala Lumpur – Kerajaan sedang di peringkat akhir perbincangan bagi menentukan mekanisme terbaik subsidi minyak masak dalam botol dengan kapasiti dua kilogram (kg) atau lima kilogram, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet pada Rabu sebelum dapat diputuskan dan diumumkan kepada rakyat seawal minggu hadapan.

Katanya perbincangan antara tiga kementerian berkaitan iaitu Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, serta Kementerian Kewangan telah dijalankan, termasuk bersama pembekal minyak sawit mentah, pemborong serta pihak berkepentingan lain.

“Di peringkat KPPK yang menjaga hal ehwal pembekal minyak sawit mentah, kita telah berbincang dan mencadangkan cara tebaik bagi memastikan rakyat menikmati harga minyak masak 2kg atau 5kg yang rendah.

“Cuma kita masih belum dapat umumkan hari ni memandangkan perkara ini belum diputuskan di peringkat Kabinet lagi,” katanya dalam program Bicara Politikonomi di TV1 bertajuk ‘Harga Sawit dan Minyak masak: Rezeki atau Beban’, semalam.

Beliau berkata KPPK turut mencadangkan kepada kerajaan pelaksanaan mekanisme jangka masa panjang atau subsidi bersasar minyak masak seperti yang sedang dilaksanakan untuk minyak petrol ketika ini.

“Cadangan mekanisme subsidi bersasar ini masih diperincikan dan ia bertujuan menangani isu ketirisan dalam pembekalan minyak masak,” tambahnya. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu