Nation
286

Perdagangan negara naik kepada RM1.4 trilion : Azmin

Kuala Lumpur – Perdagangan negara dari Januari hingga Ogos tahun ini meningkat sebanyak 22.9 peratus kepada RM1.4 trilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas, menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata eksport berkembang 24.9 peratus kepada RM778.49 bilion manakala import meningkat 20.4 peratus kepada RM628.29 bilion dengan lebihan dagangan melonjak 48.2 peratus kepada RM150.2 bilion.

“Peningkatan eksport didorong pemulihan ekonomi global dan permintaan luar yang semakin meningkat di mana terdapat kenaikan hampir kesemua eksport barangan terutamanya elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah dan petroleum, barangan perkilangan, logam serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

“Prestasi perdagangan negara turut merekodkan pencapaian yang signifikan antaranya jumlah perdagangan Malaysia melepasi nilai RM1 trilion hanya dalam tempoh enam bulan pertama 2021. Ini merupakan tempoh terpantas yang pernah direkodkan negara,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini.

Mohamed Azmin menjawab soalan Senator Datuk Othman Aziz yang ingin tahu impak keseluruhan perdagangan negara kesan daripada pandemik COVID-19 dan langkah jangka pendek untuk merancakkan semula aktiviti perdagangan antarabangsa dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Memperincikan perkara itu, Mohamed Azmin berkata jumlah eksport pada April 2021 mencatatkan nilai tertinggi iaitu sebanyak RM105.59 bilion manakala pada Mac dan Jun, eksport merekodkan nilai melebihi RM100 bilion dengan masing-masing RM105 bilion dan RM105.49 bilion.

“Keadaan ekonomi dunia yang semakin pulih memberi impak positif kepada prestasi perdagangan negara,” katanya.

Justeru, Mohamed Azmin berkata langkah meningkatkan aktiviti perdagangan antarabangsa antaranya melalui Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan di mana dalam tempoh separuh pertama tahun ini telah berjaya mencatatkan jumlah transaksi berkaitan eksport bernilai RM3.45 bilion.

“Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meningkatkan had bantuan bagi mengekalkan banyak syarikat Malaysia menggunakan platform e-dagang.

“MATRADE juga buat julung kalinya menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) secara maya dari 9 Sept hingga 31 Dis tahun ini dan rekod jualan terkumpul untuk empat hari pertama bagi pameran MIHAS dan Program Penyumberan Antarabangsa dari 1 April hingga 1 Sept adalah RM1.68 bilion,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu