Kuala Lumpur Post

Social

Pergaduhan rebut kawasan dadah punca pergelangan tangan putus

IPOH — Penemuan pergelangan tangan manusia berhampiran jalan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, hari ini terjawab setelah polis mengesahkan berlakunya pergaduhan antara lebih 20 individu di lokasi kejadian.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pergaduhan yang menyebabkan kecederaan parah terhadap tiga lelaki berusia 26 hingga 30 tahun itu pada 11.03 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa pertama mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, mangsa kedua putus pergelangan tangan kiri manakala mangsa ketiga putus urat di tapak tangan kiri,” katanya, lapor Bernama.

Menurut Abang Zainal Abidin, mangsa yang cedera dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Katanya, ketiga-tiga lelaki itu menyatakan mereka diserang oleh kira-kira 20 lelaki yang bertopeng serta bersenjatakan kayu dan parang.

Pergaduhan itu dipercayai akibat perebutan kawasan dadah, tambahnya.

“Polis menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 37 tahun disyaki suspek bagi membantu siasatan.

“Kesemuanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk permohonan reman,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, polis sedang mengesan suspek lain yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan.