KUALA LUMPUR — Jumlah pelaburan BlackRock dan syarikat berkaitannya di Malaysia antara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, perkara tersebut akan dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Guan Eng meminta perincian mengenai di negeri mana BlackRock mempunyai pelaburan serta implikasi kepada ekonomi negara sekiranya pelaburan syarikat itu sejak berpuluh tahun digugurkan.
Pada sesi yang sama, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) meminta Menteri Kesihatan menyatakan perbezaan program latihan kepakaran antara universiti tempatan dengan program latihan kepakaran luar negara (Parallel Pathway) serta anggaran kos kerajaan untuk menaja latihan kepakaran.
Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula mahu Menteri Luar Negeri menyatakan manfaat yang diperoleh Malaysia susulan pengukuhan semula hubungan dengan negara-negara Asia Tengah menerusi lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara di rantau itu pada pertengahan Mei lepas.
Pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan pula, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mahu Menteri Komunikasi menyatakan tindakan yang diambil untuk menangani isu penyebaran video dan gambar lucah di platform media sosial, yang juga bertujuan mempromosikan produk berkaitan seks.
Selain itu, Lo Su Fui (GRS-Tawau) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan perancangan untuk menyeragamkan harga barangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak serta mekanisme menangani masalah penyeludupan barangan keperluan bersubsidi.
Isu kalimah ALLAH juga akan sekali lagi dibangkitkan di Dewan Rakyat apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) membangkitkan tentang status dan perkembangan terkini penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-Undang untuk mengkaji ‘kes Nik Elin’ serta jawatankuasa bagi mengkaji isu tersebut.
Turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini ialah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 serta penyambungan semula perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024.
Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini.