Nation
147

PERJUMPAAN BERSAMA PEKERJA-PEKERJA LADANG SIME DARBY : KSM

Banting 30/3 – Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengadakan program Perjumpaan Bersama Pekerja-pekerja Ladang Sime Darby sebagai antara langkah KSM dalam mendekati komuniti industri perburuhan.

Dalam perjumpaan ini turut diadakan sesi dialog antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan para pekerja ladang bagi menerangkan tentang kemudahan yang disediakan oleh KSM kepada para pekerja iaitu Projek Perumahan Pekerja di bawah Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE).

SKRE merupakan inisiatif Kerajaan berbentuk dana pusingan (revolving fund) yang diberikan khusus kepada semua pekerja ladang yang layak. Skim ini turut menawarkan kemudahan pinjaman mudah (soft loan) dengan kadar faedah terendah iaitu sebanyak 2% dan boleh dipohon melalui Bank Simpanan Nasional.

Objektif SKRE adalah untuk menangani isu pemilikan rumah dalam kalangan para pekerja ladang. Skim ini juga bertujuan untuk membantu para pekerja yang berdepan masalah tiada tempat tinggal sekiranya pengurusan ladang bertukar atau sesebuah ladang dijual bagi tujuan pembangunan. Skim ini juga merupakan antara usaha bagi menarik minat dan mengekalkan pekerja tempatan untuk terus bekerja di ladang sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Selain tawaran bantuan daripada pihak Kerajaan, KSM juga menggalakkan para pemain industri untuk terlibat secara aktif dalam menjaga kebajikan para pekerja melalui pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka. Atas galakan ini, Sime Darby Plantation Berhad telah menyahut seruan KSM dengan memperuntukan sebahagian tanah milik mereka bagi membantu menjayakan projek Perumahan Pekerja ini.

Sime Darby memperuntukan tanah di dua (2) kawasan iaitu di Banting, Selangor dan juga Sungai Siput, Perak berkeluasan 40 ekar yang merupakan sebahagian daripada Divisyen Sungai Buaya, Ladang Dusun Durian disediakan di Banting manakala di Sungai Siput tanah pula melibatkan 10 ekar daripada Ladang Elphil, Sungai Siput.

Sime Darby memperuntukan tanah-tanah ini secara percuma dan para pekerja boleh memperolehi rumah melalui pinjaman di bawah SKRE yang ditawarkan kepada para pekerja ladang dan juga pekerja kilang kelapa sawit di kawasan-kawasan yang terlibat.

KSM berharap para pekerja mengambil peluang melalui skim yang disediakan kerana ini merupakan peluang kepada mereka untuk mendapatkan rumah mampu milik dengan kadar yang rendah.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu