Nation
108

PERKESO HASILKAN PAKAIAN ADAPTIF BANTU GOLONGAN DENGAN LIMITASI FIZIKAL UNTUK BERGAYA- KSM

Kuala Lumpur, 10 April 2021- Menyedari kesukaran orang kurang upaya (OKU) mendapatkan pakaian yang mudah dipakai dan bersesuaian dengan keadaan fizikal mereka, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tampil dengan idea penghasilan pakaian adaptif.

“PERKESO Functional Adaptive Clothing” adalah koleksi pakaian yang berciri adaptif dengan rekaan yang diubah suai bagi membolehkan si pemakai bergaya mengikut fesyen terkini dengan mudah dan selesa, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran “PERKESO Functional Adaptive Clothing” secara maya di ibu negara hari ini.

Sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal, koleksi sulung “PERKESO Functional Adaptive Clothing” menampilkan Baju Kurung dan Baju Melayu yang dihasilkan dengan reka bentuk yang berfungsi bagi golongan OKU dewasa. Reka cipta pakaian tersebut telahpun dipatenkan.

Bagi memberi sentuhan yang moden, bergaya, dan mengikut trend cita rasa terkini, PERKESO menerusi Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR) telah bekerjasama dengan pereka fesyen terkemuka Malaysia, Nurita Harith. Pakaian ini juga versatil dan sesuai dipakai untuk apa juga acara sama ada ke pejabat, majlis rasmi ataupun sambutan perayaan.

Sebanyak 11 jenis pakaian adaptif telah dihasilkan dengan fungsi tertentu, iaitu tiga jenis Baju Melayu, satu Kurta dan tujuh jenis Baju Kurung Moden.

Rekaan di bawah “PERKESO Functional Adaptive Clothing” akan dipelbagaikan lagi agar dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dan peringkat umur termasuk kanak-kanak.

Idea mencipta pakaian adaptif ini timbul ekoran keluhan Orang Berinsurans PERKESO yang menerima rawatan pemulihan di PRPTAR tentang kesukaran untuk memakai atau menukar pakaian.

Mereka yang mempunyai kelumpuhan anggota badan dan limitasi fizikal memerlukan pakaian yang khusus tetapi pakaian sedemikian sukar didapati di pasaran, apatah lagi pakaian tradisional pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia. Adalah diharapkan koleksi pakaian adaptif daripada PERKESO dapat memenuhi keperluan golongan OKU untuk pakaian yang mudah dipakai, selesa dan bergaya.

KSM gembira koleksi pertama “PERKESO Functional Adaptive Clothing” mendapat sokongan dan kerjasama daripada badan-badan korporat dan orang perseorangan di mana mereka telah menyumbang sebanyak 250 helai pakaian adaptif kepada OKU, yang disalurkan melalui Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan yang terpilih.

“Sebagai Menteri bertanggungjawab akan kesejahteraan modal insan negara, saya mengalu-alukan kerjasama serta penglibatan semua pihak dalam menjayakan inisiatif murni ini,” ujar Saravanan.

KSM berharap penghasilan “PERKESO Functional Adaptive Clothing” ini dapat meningkatkan kualiti hidup golongan OKU dan membantu mereka supaya lebih yakin sewaktu berdepan dengan masyarakat dan kembali bekerja.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu