Nation
180

Perkhidmatan awam tetap berjalan lancar : Ketua Pengarah

Putrajaya – Warga perkhidmatan awam perlu melaksanakan tanggungjawab dan terus bekerja bagi memastikan segala pengurusan serta pentadbiran kerajaan berjalan lancar seperti biasa, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata perubahan landskap politik semasa tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam.

Beliau berkata perkhidmatan awam merupakan jentera dalam sistem pentadbiran negara dan ia ditadbir urus bagi membolehkan dasar dan program negara berjalan dengan lancar.

“Semua penjawat awam adalah diingatkan supaya tidak terlibat dengan polemik politik semasa. Kita perlulah sentiasa berpegang kepada prinsip neutral dan tidak berpolitik.

“Kesetiaan penjawat awam adalah kepada Raja, negara dan kerajaan. Tidak kira sama ada bertugas di mana jua peringkat dan kedudukan, penjawat awam mesti memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Khairul Adib berkata semua ketua-ketua jabatan diarahkan untuk melaksanakan tugas selari dengan dasar semasa yang telah ditetapkan.

Ini bagi membolehkan semua perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, perancangan program menangani pandemik COVID-19 dan program vaksinasi serta program pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang telah ditetapkan, katanya.

“Berdasarkan situasi semasa, tatkala negara dalam usaha mencari kesepakatan politik, sebagai tunjang kepada struktur pentadbiran negara, penjawat awam akan memastikan keutuhan dan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan diteruskan dengan baik dan berkesan selari dengan ikrar “Berkhidmat Untuk Negara”,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan negara dan rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi dan kehidupan, penjawat awam mestilah tampil ke hadapan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi meringankan beban negara dan rakyat.

“Kita yakin semua anggota perkhidmatan awam mampu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu